Perpustakaan digital

NZDL

Perpustakaan Digital New Zealand – contoh projek yang dibangun dengan perisian perpustakaan digital Greenstone

[Manuskrip asal yang telah disiarkan oleh Dewan Kosmik]

Bayangkan! Apabila kita mahu meneliti manuskrip Al-Qur’an zaman Kesultanan Barbar; surat yang dikirim sultan Melayu kepada Stamford Raffles di Singapura; Boewulf tertua warisan kesusasteraan Eropah; ataupun Skrol Laut Mati yang bersejarah; semuanya boleh dilayari di dalam talian tanpa perlu ke perpustakaan.

Bayangkan juga jutaan naskhah buku, monograf, tesis, disertasi, bahan teks, audio, video, imej, multimedia malah artifak, dapat ditatap tanpa susah-payah mengharung trafik dan mengatur perjalanan. Tiada lagi pusing keliling menjelajah perpustakaan sebelum sampai ke tempat tersimpannya bahan yang dikehendaki. Tidak perlu lagi menunggu giliran menggunakan bahan atau menghadapi pelbagai peraturan.

Pendek kata semuanya boleh dilihat, dibaca, dihayati dan dikaji secara santai di depan komputer anda atau menggunakan peranti berkeupayaan Internet ­ di rumah, pejabat, Pizza Hut atau Starbuck! Semua ini telah pun menjadi kenyataan dengan kemunculan perpustakaan-perpustakaan digital ­ realiti yang telah diimpikan para saintis berdekad-dekad sebelum kelahirannya.

Seawal tahun 1945, gagasan tentang teknologi perpustakaan digital telah ada dalam pemikiran seorang saintis terkemuka Vannevar Bush. Beliau telah menulis dalam sebuah artikelnya As We May Think tentang suatu peranti mekanikal dipanggil “memex” yang menggunakan teknologi mikrofilem. Dalam artikel ini beliau telah mempunyai idea tentang hypertext dan sistem carian informasi peribadi (personal information retrieval system) yang kini menjadi mercu teknologi digital dan memungkinkan kemunculan perpustakaan dalam talian.

Tidak lama kemudian saintis Theodor Nelson telah menggunakan istilah hypertext untuk kali pertama dalam satu ucapannya di Kolej Vassar dan melaksanakan projek hypertext pertama dikenali sebagai Xanadu. Dua orang lagi yang pernah menggambarkan kewujudan perpustakaan digital ialah J.C.R. Licklider dan F.W. Lancaster. Mereka membayangkan perpustakaan yang seluruhnya berkomputer dan beroperasi tanpa kertas.

Semenjak itu, perkembangan teknologi yang memungkinkan terbinanya perpustakaan-perpustakaan ini menjadi begitu pantas dan tidak terbendung lagi. Antara yang menjadi pemangkin kepada kewujudan perpustakaan digital ialah penurunan kos penyetoran digital sebanyak kira-kira 30 peratus setahun.

Pada tahun 1987, penyimpanan cakera padat adalah lebih menjimatkan daripada menyediakan infrastruktur penyimpanan buku di perpustakaan. Kini menyimpan data di dalam komputer lebih menjimatkan daripada menyimpannya secara fizikal. Jadi lebih banyak institusi mula berminat untuk menyimpan bahan dalam bentuk digital berbanding dahulu.

Selain itu paparan skrin komputer dan peranti elektronik lain juga telah menjadi lebih menarik dan mesra pengguna menyebabkan lebih ramai orang sanggup membaca secara langsung pada skrin. Ini menyebabkan bahan-bahan digital semakin diterima pengguna informasi.

Sementara itu, rangkaian jalur lebar juga telah meluas penggunaannya dan ini membantu mengakses bahan-bahan digital dengan lebih pantas. Sambutan orang ramai terhadap komputer mudah alih seperti komputer riba turut menjadi pemangkin kerana peningkatan keupayaan dan teknologinya telah menyebabkan sambungan ke Internet mudah diperolehi daripada peranti tersebut di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Harganya juga sudah semakin murah dan kini menjadi barangan mampu milik.

Teknologi pendigitalan pula telah maju beberapa tapak lagi dengan peranti-peranti baru yang lebih hebat dan berkeupayaan tinggi. Begitu juga dengan adanya perisian perpustakaan digital sama ada yang komersial ataupun diedarkan percuma di bawah pelesenan kreativiti bentuk baru seperti Creative Common Licence.

Oleh sebab populariti dan perkembangan Internet serta World Wide Web (WWW), dua projek inisiatif perpustakaan digital dimulakan di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an. Projek pertama adalah usahasama antara Yayasan Sains Nasional (NSF), Agensi Projek Kajian Lanjutan Jabatan Pertahanan (ARPA) dan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA).

Bermula pada tahun 1994, ia bertujuan menampung pembiayaan projek pembangunan enam buah perpustakaan digital di enam buah institusi akademik. Manakala projek yang kedua adalah penandatanganan Perjanjian Persekutuan Perpustakaan Digital Nasional pada bulan Mei 1995 dikepalai oleh Perpustakaan Kongres serta 14 buah perpustakaan lain yang terlibat dalam pelbagai bidang kajian. Tujuannya adalah untuk mengumpulkan semua bahan digital sama ada bahan itu terdapat di Amerika atau tempat lain untuk akses para pelajar, sarjana dan orang awam tanpa mengira lokasi mereka.

Meskipun perkembangan perpustakaan digital sedang melalui hari-hari gemilang, sehingga kini tidak ada kesepakatan tentang makna istilah “perpustakaan digital” di kalangan para pelopor perpustakaan digital. Keadaan ini menggambarkan perkembangan perpustakaan digital yang belum ranum dan masih tidak sampai ke penghujung.

Ian Witten, seorang sarjana sains komputer yang bertanggungjawab menghasilkan perisian perpustakaan digital Greenstone dan rakannya David Bainbridge mentakrifkannya sebagai “satu koleksi khusus objek digital, termasuk teks, video dan audio; dilengkapi dengan cara mengakses dan menyaring maklumat, memilih, menyusun dan menyelenggara koleksi tersebut”.

Manakala Micheal Lesk mentakrifkan perpustakaan digital sebagai “koleksi teratur maklumat digital” di mana “penstrukturan dan pengumpulan maklumat yang biasa dilakukan oleh perpustakaan tradisional dan arkib digabungkan dengan keupayaan komputer untuk memaparkannya dalam bentuk digital”.

Seorang lagi sarjana, William Arms, memberikan takrif tersendiri yang tidak rasmi. Baginya perpustakaan digital adalah satu koleksi maklumat yang terurus serta dilengkapi dengan perkhidmatan yang berkaitan di mana maklumat tersebut tersimpan dalam bentuk digital dan boleh dicapai melalui satu rangkaian atau jaringan.

Bahagian penting dari takrif ini adalah kenyataan bahawa maklumat itu berada dalam keadaan terurus. Aliran data yang dikirim ke bumi daripada satelit bukanlah satu perpustakaan. Tetapi apabila data itu diurus secara sistematik ia akan menjadi satu koleksi perpustakaan digital. Berdasarkan kesemua takrif di atas, unsur-unsur perpustakaan digital itu jelas terserlah melalui konsep “maklumat digital”, “objek digital” dan “bentuk digital” serta komponen teknologi seperti “komputer” dan “rangkaian atau jaringan”.

Meskipun masih terdapat unsur-unsur perpustakaan tradisional seperti pengurusan maklumat, pemilihan, penyusunan dan lain-lain namun konsep digital dan penggunaan teknologi digital dalam segenap segi pembangunan perpustakaan tidak dapat dielakkan lagi. Inilah yang membezakan perpustakaan tradisional dengan perpustakaan digital yang sedang berkembang pesat sekarang.

Sebenarnya usaha-usaha pengembangan perpustakaan digital ini turut giat dijalankan di negara kita oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan-perpustakaan akademik. Misalnya terdapat perpustakaan dalam talian yang sudah beroperasi dan boleh diakses oleh orang ramai seperti Perpustakaan Islam Digital. Manakala perpustakaan-perpustakaan akademik sedang mendigitkan tesis dan disertasi yang dihasilkan pelajar masing-masing untuk capaian awam.

Ini adalah langkah yang sebaik-baiknya sebagai tanda kita sentiasa bersiap siaga menghadapi perubahan dan memanfaatkannya. Sementara para pengkaji dan sarjana dalam bidang sains komputer, teknologi maklumat dan sains perpustakaan sedang giat mempersiapkan segala keperluan untuk mewujudkan perpustakaan digital yang benar-benar dapat memainkan peranan yang dicita-citakan oleh para pengimaginasi dunia sains, kita seharusnya tidak ketinggalan dalam mengorak langkah.

Proses pengisian ilmu dan pengkajian yang halus perlu berkesinambungan di kalangan warga universiti dan golongan terpelajar dalam bidang berkaitan supaya kita turut dapat menyumbang sesuatu untuk pembangunan era digital khususnya perpustakaan dalam talian.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com